Wednesday 9 January 2013

TIPS UNTUK MEMBELI KASUT PERKAHWINAN


Tentukan belanja yang diperuntukkan untuk membeli kasut pengantin. Peruntukan memainkan peranan yang besar dalam menentukan jenis kasut pengantin anda. Jika peruntukannya agak tinggi, anda bolehlah menempah khas tetapi kalau terhad, ada banyak kedai kasut yang menjual kasut yang sesuai pada harga yang berpatutan.
Utamakan keselesaan kerana pengantin tidak seharusnya berjalan terjengket-jengket, lebih lebih lagi jika majlis diadakan di dewan atau hotel. Untuk mengelakkan kaki melecet, eloklah kasut itu dicuba pakai semasa di rumah supaya ianya lebih serasi. Ataupun, pakailah losyen untuk melicinkan bahagian tumit kaki. 
Pentingkan seri atau keanggunan kasut tersebut. Ianya mestilah cantik dan menimbulkan rasa puas terhadap sesiapa yang memandangnya.
Ketinggian kasut juga harus diambil kira kerana ia mestilah sesuai dengan ketinggian pasangan. Tentu tidak padan jika pengantin perempuan yang tinggi lampai mengenakan kasut bertumit tinggi sehingga melebihi ketinggian pengantin lelaki.
Seelok-eloknya kasut pengantin sepadan dengan fabrik baju pengantin. Setengah pereka fesyen yang menjahit pakaian pengantin akan menggunakan cebisan fabrik pakaian sebagai hiasan kasut. Ini akan menimbulkan keseragaman ke atas keseluruhan penampilan pengantin. Jika baju pengantin itu disewa, mungkin pengantin boleh memilih kasut berwarna emas atau perak, bergantung kepada warna baju pengantin.
Pilih rekaan kasut yang bersesuaian dengan bentuk kaki anda. Bukan semua orang sesuai memakai kasut yang terbuka. Lebih selamat dan untuk menutup parut-parut yang mungkin ada di bahagian kaki terutama di bahagian jari-jemari, pilihlah kasut yang tertutup.

No comments:

Post a Comment